Sebuah karya seni telah menarik perhatian saya ketika saya melawat Galeri Tate Modern di London. Ia merupakan menara gergasi yang diperbuat daripada beratus-ratus radio lama yang dicipta oleh artis dari Brazil, Cildo Meireles. Setiap radio telah dipasangkan dan diselaraskankan kepada rancangan radio yang berbeza sambil menghasilkan bunyi kuat yang mengelirukan serta ucapan yang tidak dapat difahami. Meireles memanggilnya sebagai arca Babel.

Tajuknya sangat sesuai. Tuhan telah menggagalkan cubaan manusia untuk menakluki langit dengan cara mengelirukan bahasa manusia di menara Babel yang sebenar (Kejadian 11:1–9). Manusia telah berpecah belah dan menjadi suku bangsa yang berbeza dengan pelbagai dialek dan tidak lagi dapat berkomunikasi antara satu sama lain (ayat 10–26). Sejak itu, kita mengalami kesukaran untuk memahami pelbagai bahasa yang berbeza.

Terdapat bahagian kedua dalam cerita itu. Ketika Roh Kudus datang kepada orang Kristian yang pertama pada waktu Pentakosta, orang yang mengunjungi Yerusalem pada masa itu boleh memuji Tuhan dalam pelbagai bahasa (Kisah Rasul-Rasul 2:1–12). Melalui keajaiban ini, semua orang mendengar mesej yang sama tidak kira apa kewarganegaraan atau bahasa mereka. Kekeliruan yang berlaku di Babel telah diterbalikkan.

Ini ialah berita baik bagi etnik dan budaya yang berbeza. Tuhan membentuk manusia baru daripada setiap bangsa, suku dan bahasa melalui Yesus (Wahyu 7:9). Ketika saya berdiri di Tate Modern, saya membayangkan bahawa semua radio tiba-tiba diselaraskan dengan isyarat baharu dan memainkan lagu yang sama dalam bilik itu: “Sangat besar anugerah-Nya.”