Ini merupakan acara lari merentas desa yang pertama kali bagi seorang pelajar perempuan tingkatan satu tetapi dia enggan berlari. Walaupun dia telah bersiap untuk acara itu, tetapi dia bimbang bahawa dia tidak melakukannya dengan baik. Namun dia tetap memulakan perlumbaan itu dengan orang lain. Kemudian, seorang demi seorang, para pelari menamatkan larian sejauh 3 kilometer dan melepasi garisan penamat—semua orang kecuali pelari yang enggan itu. Akhirnya, ibu pelajar itu yang memerhatikannya ketinggalan seorang diri dari jauh pun pergi ke garisan penamat untuk menghiburkannya. Sebaliknya, apabila pelari muda itu melihat ibunya, dia berkata, “Sangat mengagumkan!”

Apakah yang sangat mengagumkan tentang mendapat tempat terakhir? Menamatkan larian!

Gadis itu telah mencuba sesuatu yang sukar dan telah berjaya! Kerja keras dan ketekunan dinilai dalam Alkitab Ia merupakan konsep yang sering dipelajari melalui sukan atau muzik, atau perkara lain yang memerlukan ketekunan dan usaha.

Amsal 12:24 mengatakan, “Kerajinan menjadikan orang berkuasa, tetapi kemalasan menyebabkan orang menjadi hamba.” Dan kemudian kita membaca, “Setiap usaha menghasilkan keuntungan; bercakap kosong membuat orang jatuh miskin” (14:23). Prinsip-prinsip bijak ini—bukanlah janji—boleh membantu kita melayani Tuhan dengan baik.

Rancangan Tuhan untuk kita selalunya termasuklah pekerjaan. Bahkan sebelum manusia berdosa, Adam telah “mengusahakan serta memelihara [taman itu]” (Kejadian 2:15). Dan segala usaha yang kita lakukan harus dilakukan “dengan sepenuh hati” (Kolose 3:23). Mari bekerja dengan kekuatan yang diberikan-Nya kepada kita—dan serahkan hasil kepada Dia.