Gazel Afrika secara naluri membentuk “lingkaran amaran” sambil berehat di savana. Gazel akan bergabung dalam kumpulan dengan tubuh yang menghadap ke luar, dan arah yang sedikit berbeza. Ini membolehkan gazel memerhatikan seluruh kawasan dengan 360 darjah dan berkomunikasi jika ada bahaya.

Gazel dalam kumpulan bukan hanya menjaga diri sendiri, melainkan menjaga satu sama lain. Ini juga merupakan kebijaksanaan Tuhan bagi para pengikut Yesus. Alkitab menggalakkan kita, “Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang” (Ibrani 10:24–25).

Orang Kristian tidak pernah diciptakan untuk berjalan sendirian, jelas penulis kitab Ibrani. Kita akan menjadi semakin kuat sekiranya kita bersatu. Kita boleh “menggalakkan satu sama lain” (ayat 25) untuk “menghibur orang yang mengalami kesusahan dengan penghiburan yang kami terima sendiri daripada Allah” (2 Korintus 1:4, AVB), dan membantu satu sama lain agar “berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa” (1 Petrus 5:8).

Matlamat saling memerhatikan antara sesama kita adalah jauh lebih berharga daripada semata-mata untuk hidup. Hal ini akan membuat kita menyerupai Yesus: hamba Tuhan yang penuh kasih dan bekerja dengan efektif di dunia ini—orang yang hidup dalam kesatuan bersama-sama menantikan Pemerintahan-Nya yang akan datang dengan penuh harapan. Kesemua kita memerlukan galakan. Tuhan akan menolong kita untuk saling membantu apabila kita bersama-sama menghampiri-Nya dengan kasih.