Reepicheep, seekor tikus yang bersuara nyaring, mungkin ialah watak yang paling berani dalam filem The Chronicles of Narnia (Riwayat Narnia). Dia menyerang dalam pertempuran dengan mengayunkan pedang kecilnya. Dia tidak takut ketika menaiki kapal Dawn Treader dan menuju ke Pulau Kegelapan. Apakah rahsia bagi keberanian Reepicheep? Dia sangat berkeinginan untuk pergi ke negara Raja Aslan. “Itulah kerinduan saya,” katanya. Reepicheep tahu apa kerinduan sebenarnya, dan ini membawa dia kepada rajanya.

Bartimeus, seorang lelaki buta dari Yerikho, duduk di tempat biasanya sambil memegang cawan untuk meminta sedekah. Dia terdengar bahawa Yesus dan orang ramai yang lalu di tempatnya. Bartimeus berseru, “Yesus, Anak Daud, kasihanilah hamba!” (Markus 10:47). Orang ramai cuba menyuruh dia diam tetapi Bartimeus terus berseru.

“Yesus berhenti,” kata Markus (ayat 49). Di tengah-tengah orang ramai, Yesus ingin mendengar Bartimeus. “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?” tanya Yesus (ayat 51).

Jawapannya kelihatan jelas; sudah tentu Yesus mengetahuinya. Tetapi Dia seolah-olah menginginkan Bartimeus sendiri menyatakan kerinduannya yang mendalam. “Saya ingin melihat,” kata Bartimeus (ayat 51). Yesus pun menyuruh Bartimeus balik ke rumahnya dan melihat benda-benda yang berwarna-warni, indah, dan wajah-wajah kawannya untuk kali pertama.

Bukan semua kerinduan dipenuhi dengan segera (dan kerinduan mesti diubah menurut kehendak Tuhan), tetapi yang penting adalah bagaimana Bartimeus mengetahui kerinduannya dan membawanya kepada Yesus. Sekiranya kita memberi perhatian, kita akan melihat bahawa segala kerinduan sebenar kita sentiasa membawa kita kepada-Nya.