Pastor Watson Jones mengimbas kembali masa dia belajar menunggang basikal. Bapanya berjalan di sisinya tetapi ketika Watson yang masih kecil melihat beberapa orang gadis duduk di anjung, dia pun berkata,”Ayah, saya sudah pandai menunggang basikal!” Akibatnya, dia terjatuh kerana dia belum belajar untuk mengimbangi dirinya tanpa bantuan ayahnya. Dia masih belum menjadi dewasa sebagaimana yang difikirkannya.

Bapa Syurgawi merindukan agar kita bertumbuh serta “menjadi matang dan sempurna seperti Kristus” (Efesus 4:13). Namun kematangan rohani berbeza dengan kematangan fizikal. Ibu bapa membesarkan anak-anak mereka untuk berdikari dan tidak lagi memerlukan penjagaan mereka. Bapa Syurgawi membimbing kita bergantung kepada-Nya setiap hari.

Petrus memulakan suratnya dengan menjanjikan “Kasih karunia dan damai sejahtera melimpahi kamu oleh pengenalan akan Allah dan akan Yesus, Tuhan kita,” dan dia mengakhirinya dengan menggesa kita agar “bertumbuhlah dalam kasih karunia dan dalam pengenalan akan Tuhan dan Juruselamat kita” (2 Petrus 1:2; 3:18, ATB). Orang Kristian yang matang tetap memerlukan Yesus.

Watson memberi amaran, “Ada di antara kita yang sibuk menepis tangan Yesus yang berkuasa ke atas hidup kita.” Seolah-olah kita tidak memerlukan tangan-Nya yang kuat untuk memegang, mengangkat, dan memeluk kita ketika kita berjalan terhuyung-hayang. Kita tidak dapat bertumbuh tanpa ketergantungan kepada Kristus. Kita hanya boleh bertumbuh dengan berakar umbi dalam rahmat Tuhan dan pengenalan akan Dia.