Baru-baru ini, ada beberapa orang di gereja kami—mereka tidak mempunyai hubungan baik dengan ayah mereka—meminta saya mengambil tempat sebagai seorang ayah yang penyayang dan berdoa bersama mereka. Kandungan doa itu termasuklah meminta pengampunan ke atas seorang ayah yang mungkin pernah menyakiti hati anak-anaknya dengan mendesak mereka mencapai harapan yang terlalu tinggi, atau gagal memberi kasih sayang yang lembut dan meyakinkan. Mereka akan mengalami sukacita, dan belajar untuk menghormati dan mengasihi bapa mereka. Ketika saya mengucapkan doa itu, saya menangis. Saya menyedari bahawa saya masih amat memerlukan kata-kata sedemikian, sama halnya dengan anak-anak saya.

Alkitab berulang kali mengatakan Tuhan sebagai Bapa kita, satu kenyataan yang membentuk semula imej bapa yang telah rosak, yang mungkin kita miliki. Tuhan, Bapa kita yang kekal “sangat mengasihi kita” (1 Yohanes 3:1) dengan kasih yang sempurna, menjadikan kita anak-anak Tuhan. Identiti kita sebagai anak lelaki dan perempuan Tuhan menjadi dasar kita dalam keadaan yang tidak menentu, dunia yang menakutkan. “Kita sekarang anak-anak Allah,” kata Yohanes, meskipun “keadaan kita kelak belum jelas” (ayat 2). Ketika menghadapi cabaran yang tetap sama sejak dahulu, mengetahui kasih Bapa dan penjagaan-Nya yang tidak pernah berhenti menjadi harapan kita. Melalui kata-kata Yohanes yang penuh inspirasi, Tuhan mengatakan bahawa kita pasti akan menyerupai Dia (ayat 2).

Di tengah-tengah ketakutan, kelukaan, dan kegagalan kita, Bapa kita yang baik menyalurkan berkat kasih-Nya yang kekal. Tuhan menegaskan bahawa kita ialah milik-Nya, kerana Dia telah menjadikan kita anak-anak-Nya.