Anda mungkin sudah mendengar tentang Menara Condong Pisa yang terkenal di Itali. Namun pernahkah anda mendengar tentang menara condong di San Francisco? Menara ini dinamakan Menara Milenium dan dibina pada tahun 2008. Bangunan pencakar langit setinggi 58 tingkat ini berdiri dengan megah dalam keadaan sedikit condong di pusat bandar San Francisco.

Apakah punca masalah bangunan tersebut? Para jurutera tidak menggali dasar bangunan ini dengan cukup mendalam. Sekarang mereka terpaksa membaik pulih bangunan itu yang memakan belanja jauh lebih besar berbanding biayaan pembinaan pada asalnya. Inilah penyelesaian yang perlu dibuat untuk menghindari bangunan itu daripada roboh sewaktu berlakunya gempa bumi.

Apakah pengajaran pahit yang kita peroleh melalui hal ini? Dasar merupakan sesuatu yang sangat penting. Apabila dasar anda tidak kukuh, maka malapetaka akan menyusul. Yesus memberi ajaran yang serupa pada penghujung khutbah-Nya di atas bukit. Dalam Matius 7:24-27, Dia membandingkan dua orang yang sedang membina rumah. Seorang membina di atas batu, seorang lagi di atas pasir. Apabila berlakunya ribut yang tidak dapat dielakkan, hanya rumah dengan dasar yang kukuh masih bertahan.

Apakah maknanya ini kepada kita? Yesus dengan jelas mengatakan bahawa hidup kita mesti dibina melalui ketaatan dan kepercayaan dalam Dia (ayat 24). Apabila kita tinggal di dalam Dia, hidup kita mendapat dasar yang kukuh melalui kuasa Tuhan dan rahmat-Nya yang tidak berkesudahan.

Kristus tidak pernah berjanji bahawa kita tidak akan menghadapi badai kehidupan. Tetapi Dia berjanji bahawa Dia merupakan dasar bagi iman kita, maka ribut dan air deras tidak akan menghanyutkan kubu iman kita dalam Dia.