“Kebencian menghakis bekas yang menyimpannya.” Ini merupakan kata-kata bekas Senator Alan Simpson pada hari pengebumian George H. W. Bush. Senator Simpson mencuba untuk mengimbas kembali kebaikan sahabatnya, berkata bahawa Presiden Amerika ke-41 itu mendukung humor dan kasih, bukan kebencian dalam kepimpinan dan persahabatan peribadi.

Saya dapat memahami kata-kata senator itu. Demikian juga dengan anda, bukan? Bayangkan kerosakan yang akan berlaku dalam diri saya jika saya menyimpan kebencian!

Penyelidikan perubatan mendapati bahawa kerosakan akan berlaku ke atas tubuh kita apabila kita berpaut pada kepahitan atau meletus dalam kemarahan. Tekanan darah kita meningkat. Jantung kita berdegup. Roh kita menjadi lemah. Tubuh kita terhakis.

Dalam Amsal 10:12, Raja Salomo berkata, “Kebencian menimbulkan pertengkaran, tetapi kasih mengampunkan segala kesalahan.” Konflik yang diakibatkan oleh kebencian adalah permusuhan berdarah antara suku-suku dan bangsa-bangsa yang berlainan. Kebencian serupa ini menyalakan rasa dendam sehingga orang yang saling membenci tidak dapat menjalinkan hubungan.

Sebaliknya, kasih Tuhan menutupi dan mengampuni segala kesalahan. Itu tidak bererti bahawa kita menutup mata terhadap kesalahan atau menggalakkan lagi orang yang berbuat jahat. Tetapi ini bermaksud kita tidak menaruh dendam apabila seseorang yang bersalah betul-betul bertaubat. Sekiranya mereka tidak meminta ampun, kita masih boleh meluahkan perasaan kita kepada Tuhan. Kita yang mengenal kasih Tuhan yang sangat besar perlu “saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni” (1 Petrus 4:8).