Seorang ateis yang bersifat terus-terang percaya bahawa ibu bapa yang mengajarkan agama kepada anak-anak mereka seolah-olah yang diajarkan itu adalah benar sememangnya satu tindakan yang tidak bermoral. Dia juga berkata bahawa ibu bapa yang menurunkan iman mereka kepada anak-anak mereka adalah perbuatan mendera kanak-kanak. Walaupun pandangan ini keterlaluan, saya pernah mendengar tentang ibu bapa yang keberatan untuk menggalakkan anak-anak mereka percaya kepada Yesus. Sementara kebanyakan kita bersedia untuk mempengaruhi anak-anak kita mengenai politik, pemakanan atau sukan menurut pandangan kita, tetapi bukan hal iman.

Sebaliknya, Paulus menulis tentang Timotius yang telah diajar “sejak kecil … Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus” (2 Timotius 3:15). Timotius bukannya baru percaya kepada Yesus sewaktu dewasa. Sebenarnya, ibunya yang memimpin hatinya kepada Tuhan sejak kecil; kemudian dia meneruskan apa yang telah dipelajarinya (ayat 14). Sekiranya Tuhan itu hidup, sumber hikmat yang benar, maka sangat penting bagi kita memupuk kasih kita terhadap Tuhan di kalangan keluarga kita.

Terdapat banyak sistem kepercayaan yang mempengaruhi anak-anak kita. Rancangan TV, filem, muzik, guru-guru, kawan-kawan dan media—setiap satu membawa andaian tentang iman yang menghasilkan pengaruh yang nyata secara langsung dan tidak langsung. Semoga kita memilih untuk tidak berdiam diri. Keindahan rahmat Tuhan yang telah kita alami menggerakkan kita membimbing anak-anak kita percaya kepada Tuhan.