Pada suatu pagi bulan Januari, saya bangun dengan menyangka bahawa saya akan melihat landskap suram yang sama pada pertengahan musim sejuk itu, yang telah pun berlangsung sejak beberapa minggu: rumput kuning yang menembusi tompok-tompok salji, langit yang berwarna kelabu, dan pokok-pokok yang hanya tinggal rangka. Namun, sesuatu yang luar biasa telah berlaku dalam semalaman. Tompokan ais beku telah menyaluti segala sesuatu dengan kristal-kristal ais. Landskap yang tiada hidupan dan menyedihkan itu telah bertukar menjadi pemandangan yang indah dengan kilauan di bawah sinaran matahari dan begitu mempesonakan.

Kadangkala kita memandang masalah tanpa memilih untuk beriman. Kita menyangka bahawa setiap pagi kita akan berhadapan dengan kesakitan, ketakutan, dan keputusasaan, tetapi kita terlepas pandang terhadap kemungkinan bahawa sesuatu yang berbeza bakal berlaku. Kita tidak mengharapkan kesembuhan, pertumbuhan, atau kemenangan melalui kuasa Tuhan. Namun Alkitab mengatakan bahawa Tuhan yang menolong kita melalui masa-masa sukar. Dia memulihkan hati yang hancur, dan membebaskan orang-orang yang terikat . Dia menghiburkan orang yang berkabung dengan “kesukaan serta kegembiraan, dan bukan kedukaan, lagu pujian, dan bukan kesedihan” (Yesaya 61:3).

Tuhan bukan sekadar hendak menghibur kita apabila kita menghadapi masalah. Tetapi Dialah pengharapan kita ketika berada dalam ujian hidup. Meskipun kita harus menantikan syurga untuk memperoleh penghiburan yang abadi, Tuhan sentiasa menyertai kita, menguatkan kita dan sering menyatakan diri-Nya kepada kita. Dalam perjalanan hidup kita, semoga kita memahami kata-kata St. Augustine ini (ahli teologi dan falsafah Kristian): “Dalam lukaku yang terdalam, aku melihat kemuliaan-Mu, dan aku terpesona.”