Saya mengeluh sambil menepuk dahi, “Saya tidak tahu bagaimana saya boleh menyiapkan semuanya.” Suara rakan saya kedengaran berpecah-pecah melalui telefon: “Kamu hendaklah memberi sedikit penghargaan kepada diri sendiri. Sudah banyak yang telah kamu lakukan.” Kemudian dia menyenaraikan perkara-perkara yang saya cuba lakukan—mengekalkan gaya hidup yang sihat, bekerja, ada keputusan yang baik selaku siswazah, menulis, dan menghadiri kelas Alkitab. Saya mahu melakukan semua perkara ini untuk Tuhan, tetapi saya lebih fokus kepada apa yang saya sedang lakukan, dan bukan cara saya melakukannya—atau mungkin saya cuba melakukan terlalu banyak perkara.

Paulus mengingatkan jemaah di Kolose supaya mereka hidup untuk memuliakan Tuhan. Pada dasarnya, apa yang dilakukan mereka sehari-hari tidak sepenting dengan bagaimana mereka melakukannya. Mereka hendaklah melakukan kerja mereka dengan “berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar” (Kolose 3:12), saling mengampuni, dan yang paling penting adalah saling mengasihi (ayat 13-14), dan segala sesuatu “haruslah dilakukan demi nama Tuhan Yesus” (ayat 17). Apa sahaja pekerjaan yang dilakukan mereka haruslah serupa dengan kehidupan yang mencontohi Kristus.

Apa yang kita lakukan adalah penting, tetapi bagaimana, mengapa, dan untuk siapa kita melakukannya adalah lebih penting. Setiap hari kita boleh memilih untuk bekerja dengan cara yang tertekan atau dengan cara yang memuliakan Tuhan, dan mencari maksud dalam pekerjaan kita menurut kehendak Yesus. Apabila kita melakukan kerja untuk memuliakan Tuhan, kita akan beroleh kepuasan.