Kawasan kejiranan kami menggunakan satu laman web untuk membantu para tetangga saling berhubung dengan segera. Jika ada orang dalam kawasan kejiranan saya ternampak singa atau berlakunya kebakaran hutan yang menghendaki semua orang berundur, amaran akan diberikan kepada satu sama lain. Perkhidmatan penjagaan anak-anak menurut keperluan juga disediakan. Selain itu, laman web itu terbukti menjadi sumber penemuan haiwan kesayangan yang hilang. Dengan memanfaatkan pengaruh Internet, mereka yang tinggal berhampiran dapat saling berhubung semula di dunia yang pantas pada hari ini.

Hubungan dengan orang yang tinggal berdekatan juga adalah penting pada zaman Raja Salomo. Sementara hubungan keluarga sangat penting dan merupakan sumber sokongan yang utama, Salomo menyatakan bahawa peranan seorang sahabat juga adalah sangat penting—terutamanya ketika “dalam kesusahan” (Amsal 27:10). Saudara-mara mungkin amat mengambil berat tentang ahli keluarga mereka dan ingin membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Namun jika mereka berada jauh, maka tidak banyak yang dapat dilakukan mereka ketika ditimpa malapetaka. Bagaimanapun, oleh sebab jiran-jiran tinggal berdekatan, maka mereka dapat bertindak terhadap keperluan jiran dengan cepat dan sedia membantu.

Oleh sebab teknologi telah memudahkan perhubungan dengan orang yang tersayang di seluruh dunia, maka kita mungkin tergoda untuk mengabaikan orang yang tinggal berdekatan. Yesus, tolonglah kami melaburkan masa dalam menjalinkan hubungan dengan orang yang telah Engkau tempatkan di sekeliling kami!