Pada abad ke-17, ahli sains Isaac Newton menggunakan sebuah prisma untuk mengkaji bagaimana cahaya membantu kita melihat pelbagai warna. Dia mendapati bahawa apabila cahaya menembusi sesuatu objek, objek itu akan membiaskan warna tertentu. Walaupun sebutir kristal ais kelihatan lutsinar, salji sebenarnya terdiri daripada butiran-butiran kristal ais yang hancur. Apabila cahaya menembusi semua kristal itu, salji kelihatan berwarna putih.

Alkitab menyebutkan satu benda lain yang mempunyai warna tertentu, yakni dosa. Melalui nabi Yesaya, Tuhan menentang dosa-dosa bangsa Yehuda dan menjelaskan dosa mereka adalah seperti “merah marak.” Tetapi Tuhan berjanji bahawa mereka akan “menjadi putih seperti salji” (Yesaya 1:18). Bagaimanakah hal itu akan berlaku? Bangsa Yehuda haruslah bertaubat daripada dosa mereka dan memohon pengampunan Tuhan.

Naikkanlah kesyukuran kita kepada Yesus kerana kita memiliki pengampunan Tuhan yang kekal. Yesus menyebut diri-Nya sebagai “cahaya bagi dunia” dan orang yang mengikut Dia “tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup” (Yohanes 8:12). Apabila kita mengakui dosa kita, Tuhan mengampuni kita dan kita dilihat melalui cahaya pengorbanan Kristus pada kayu salib. Ini bermakna Tuhan melihat kita seperti Dia melihat Yesus—tidak bercacat cela.

Kita tidak perlu tenggelam dalam perasaan bersalah dan malu terhadap dosa yang telah kita lakukan. Sebaliknya, kita dapat berpegang kepada kebenaran bahawa pengampunan Tuhan yang menjadikan kita “putih seperti salji.”