“Kamu tidak mungkin dapat hidup dalam keadaan ini. Tuhan di syurga pasti telah melindungi kamu,” pemandu trak tunda itu memberitahu emak saya setelah dia menarik kereta emak saya dari tepi gaung yang curam dengan menjejaki kesan tayar yang membawa kepada bangkai kereta itu. Pada waktu itu, emak sedang menghamilkan saya. Sepanjang saya membesar, emak sentiasa menceritakan bagaimana Tuhan menyelamatkan kedua-dua nyawa kami, dan dia meyakinkan saya bahawa Tuhan mengasihi saya walaupun sebelum saya dilahirkan.

Tiada seorang pun yang terlepas daripada pandangan Pencipta kita yang Maha Tahu. Lebih daripada 2,500 tahun yang lalu, Tuhan berfirman kepada nabi Yeremia, “Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, Aku telah mengenal engkau (Yeremia 1:5 [TB]). Tuhan mengenal kita lebih intim daripada sesiapa pun dan dapat memberi kita tujuan dan erti kehidupan yang tiada bandingannya. Dia bukan sahaja membentuk kita melalui hikmat dan kuasa-Nya, tetapi Dia juga melindungi kita pada setiap saat—termasuk hal-hal peribadi yang berlaku pada setiap saat tanpa kita sedari: daripada degupan jantung kita hinggalah ke fungsi otak kita yang rumit. Ketika merenungkan Bapa Syurgawi yang berkuasa ke atas setiap aspek kewujudan kita, Daud berseru, “Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, ya Allah!” (Mazmur 139:17, AVB).

Tuhan sangat rapat dengan kita, ibarat setiap nafas kita. Dia mencipta, mengenali, mengasihi kita, dan Dia sentiasa layak disembah dan dipuji.