“Saya seolah-olah telah tersentuh wayar hidup,” kata Profesor Holly Ordway, sewaktu menggambarkan reaksinya terhadap sajak John Donne yang hebat dan agung, Holy Sonnet 14 (Soneta Suci 14 Baris). Sesuatu yang ajaib berlaku dalam sajak ini, fikirnya. Saya tertanya-tanya apa itu. Ordway mengisahkan bahawa dia ialah seorang ateis pada suatu ketika, menyedari bahawa kuasa luar biasa mungkin wujud. Akhirnya dia mempercayai bahawa Kristus yang sudah bangkit mempunyai kuasa untuk mengubah hidup.

Tersentuh wayar hidup—tentunya seperti apa yang dirasai oleh Petrus, Yakobus dan Yohanes pada hari Yesus membawa mereka pergi ke puncak gunung, tempat yang mereka menyaksikan transformasi yang dramatik. “Pakaian [Kristus] menjadi putih bersinar-sinar” (Markus 9:3), lalu Elia dan Musa menampakkan diri—kejadian yang dikenali sebagai “Yesus dipermuliakan”.

Ketika mereka turun dari gunung, Yesus melarang pengikut-pengikut-Nya memberitahu sesiapa pun apa yang disaksikan sehinggalah Dia bangkit daripada kematian (ayat 9). Tetapi mereka tidak tahu pun apa yang dimaksudkan-Nya tentang “bangkit daripada kematian” (ayat 10).

Pemahaman pengikut-pengikut tersebut mengenai Yesus masih belum sempurna, kerana mereka tidak dapat membayangkan bahawa Dia telah ditentukan untuk mati dan bangkit daripada kematian. Tetapi akhirnya pengalaman-pengalaman mereka dengan Tuhan yang sudah bangkit benar-benar mengubah kehidupan mereka. Apabila Petrus berumur lanjut, dia menjelaskan bahawa “dengan mata kepala sendiri [mereka] melihat kemuliaan Kristus” (2 Petrus 1:16).

Seperti Profesor Ordway dan pengikut-pengikut Yesus, apabila kita mengalami kuasa Yesus, kita sedang menyentuh “wayar hidup.” Sesuatu yang ajaib sedang berlaku. Kristus yang hidup memanggil kita mengikut Dia.