Cucu lelaki kami yang kecil melambai-lambaikan tangannya untuk mengucapkan selamat tinggal,kemudian dia berpaling dan bertanya. “ ‘Kenapa nenek berdiri di luar rumah dan memandang kami sehingga kami pergi?” Saya tersenyum, mendapati soalannya itu “comel” kerana dia sangat muda. Walau bagaimanapun, saya cuba memberikan jawapan yang baik. “Kita harus berlaku sopan. Kalau kamu ialah tetamu saya, melihat sehingga kamu pergi menunjukkan saya mengambil berat.” Dia memikirkan jawapan saya, tetapi masih kelihatan bingung. Jadi, saya berkata kepada dia tentang kebenaran yang mudah difahami. Saya berkata, “Saya melihat kerana saya mengasihi kamu. Apabila saya melihat kereta kamu pergi, saya tahu kamu akan pulang dengan selamat.” Dia tersenyum, sambil memeluk saya. Akhirnya dia faham.

Pengertian kanak-kanak kecil ini mengingatkan saya apa yang kesemua kita harus ingati—Bapa Syurgawi kita terus-menerus menjaga setiap kita, anak-anak-Nya yang berharga. Seperti yang dikatakan dalam Mazmur 121, “TUHAN akan menjaga kamu; Dia di sisimu untuk melindungi kamu” (ayat 5).

Inilah jaminan yang cukup meyakinkan orang Israel ketika mereka menempuh perjalanan ke Yerusalem untuk menyembah Tuhan. “Pada waktu siang matahari tidak akan menyakiti kamu; pada waktu malam bulan tidak akan mencederakan kamu. TUHAN akan melindungi kamu daripada segala bahaya; Dia menjaga kamu supaya hidupmu selamat” (ayat 6-7). Begitu juga, ketika kita masing-masing menempuh perjalanan hidup dan menghadapi ancaman dan bahaya secara rohani, “TUHAN akan melindungi [kita] ketika [kita] pergi dan balik.” Kenapa? Kasih-Nya. Bila? “Sekarang hingga selama-lamanya” (ayat 8).