Tsundoku, perkataan yang sering saya perlukan! Inilah istilah Jepun yang merujuk kepada satu timbunan buku di atas meja bersebelahan dengan katil untuk dibaca. Buku memberi kita peluang untuk mempelajari sesuatu atau “pergi” ke suatu waktu atau tempat yang berbeza, dan saya mengharapkan nikmat dan pengetahuan dalam halaman-halaman buku tersebut. Namun, timbunan buku tersebut masih di sana.

Sungguh benar bahawa kita boleh mendapatkan nikmat dan bantuan dalam Alkitab berbanding buku-buku yang lain. Dalam perintah Tuhan kepada Yosua, seorang pemimpin Israel yang baru dilantik untuk memimpin mereka masuk ke tanah yang telah dijanjikan kepada umat Israel, saya digalakkan untuk selalu merenungkan firman Tuhan (Yosua 1:8).

Memandangkan kesusahan yang bakal dialami Yosua, Tuhan meyakinkan dia dengan berkata, “Aku akan menyertai engkau” (ayat 5). Pertolongan-Nya akan datang, sedikit demi sedikit, melalui ketaatan Yosua kepada perintah Tuhan. Jadi Tuhan mengarahkan dia, “Pastikanlah supaya Kitab Taurat sentiasa dibacakan kepada umat-Ku semasa kamu beribadat. Kajilah kitab itu siang dan malam; pastikanlah supaya engkau mentaati segala yang tertulis di dalamnya” (ayat 8). Walaupun Yosua memiliki Kitab Taurat, dia perlu selalu membacanya untuk mendapatkan pengetahuan dan pemahaman akan siapa itu Tuhan dan kehendak-Nya untuk umat-Nya.

Adakah anda memerlukan arahan, kebenaran, atau galakan untuk menjalani kehidupan anda? Apabila kita mengambil masa untuk membaca, mentaati, dan mengalami pertumbuhan melalui firman Tuhan, kita dapat menikmati semua yang terkandung dalam firman-Nya (2 Timotius 3:16).