Sejak kecil lagi, Jackson bercita-cita hendak menjadi anggota Pasukan Tentera Laut, Udara, dan Darat Amerika Syarikat (SEAL)—satu cita-cita yang mendorong dia menjalani latihan fizikal dan membuat pengorbanan diri selama bertahun-tahun. Akhirnya dia menghadapi ujian yang mencabar tahap kekuatan dan daya tahan termasuklah apa yang disebut oleh para pelatih sebagai “minggu neraka.”

Secara fizikal, Jackson tidak mampu melengkapkan latihan yang melelahkan, maka dengan berat hati membunyikan loceng untuk memberitahu komander dan para pelatih tentang pilihannya untuk meninggalkan program itu. Bagi kebanyakan orang, ini rasa seperti satu kegagalan. Tetapi di sebalik kekecewaan yang besar itu, Jackson dapat melihat kegagalan sebagai anggota tentera sebagai persediaan untuk pekerjaan masa depannya.

Rasul Petrus juga mengalami kegagalan. Dengan berani, dia mengatakan bahawa dia akan tetap setia kepada Yesus sehingga rela dipenjarakan atau dibunuh (Lukas 22:33). Namun kemudian dia menangis dengan tersedu-sedu setelah dia menyangkal Yesus (ayat 60-62). Tetapi Tuhan mempunyai rancangan di sebalik kegagalannya. Sebelum Petrus menafikan Yesus, Yesus memberitahunya, “Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya” (Matius 16:18; lihat juga Lukas 22:31-32).

Adakah anda bergelut dengan kegagalan yang menyebabkan anda berasa tidak bernilai atau tidak layak untuk meneruskan hidup? Jangan biarkan bunyi loceng kegagalan menyebabkan anda terlepas daripada tujuan Tuhan yang lebih besar untuk anda.