Wartawan daripada Akhbar Boston Globe menggambarkan Pameran The Wait (Penantian) oleh pengukir Liz Shepherd menonjolkan bahawa “kehidupan adalah berharga, fana, ulung” pada tahun 2018. Ketika Liz Shepherd menemani ayahnya pada penghujung nyawanya, dia diilhamkan untuk mengadakan pameran itu supaya menyampaikan kerinduan, kekosongan akibat kehilangan, dan perasaan rapuh apabila orang tersayang tidak dapat dijangkau.

Idea bahawa kematian adalah berharga mungkin tidak masuk akal: Pemazmur berkata, “Berharga di mata TUHAN kematian semua orang yang dikasihi-Nya” (Mazmur 116:15 [TB]). Tuhan menghargai kematian umat-Nya, kerana Dia menyambut mereka pulang.

Siapakah “orang yang setia kepada [Tuhan]”? Menurut pemazmur, mereka orang yang melayani Tuhan dalam kesyukuran kerana pembebasan-Nya, yang memanggil nama-Nya, dan yang menghormati kata-kata yang diucapkan di hadapan-Nya (Mazmur 116:16–18). Tindakan sedemikian adalah hasil daripada tetap berjalan dengan Tuhan, menerima kebebasan yang ditawarkan-Nya, dan memupuk hubungan dengan Dia.

Dengan berbuat demikian, kita mendapati bahawa Yesus menemani kita, yang “dipilih oleh Allah kerana dianggap berharga … kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Aku telah memilih suatu batu berharga, yang Aku tempatkan di Sion sebagai batu asas; dan sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan dikecewakan’ ” (1 Petrus 2:4–6). Apabila kita percaya kepada Tuhan, pengakhiran hidup kita dari bumi ini adalah berharga di mata-Nya.