Nampaknya lampu yang dijual di kedai barangan terpakai itu sesuai untuk rumah saya dari segi warna, saiz dan harga. Setelah sampai di rumah, apabila saya menyambungkannya ke soket, tiada apa-apa yang berlaku. Tiada cahaya. Tiada kuasa elektrik.

Suami saya meyakinkan bahawa ini bukan masalah. “Saya boleh membaikinya. Mudah sahaja.” Apabila dia membuka lampu itu, dia segera melihat masalahnya. Palamnya tidak bersambung pada apa-apa wayar. Tanpa menghubungkan sumber kuasa, lampu yang cantik dan “nampaknya sesuai” tidak berguna.

Begitu juga dengan kita. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat.” Tetapi kemudian dia menambahkan peringatan ini. “Kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa” (Yohanes 15:5)

Pengajaran ini diberikan di kawasan tanaman anggur, maka pengikut-pengikut Yesus mudah memahami. Anggur adalah tumbuhan yang tahan lasak, dan carang-carangnya dapat dikerat tanpa menjejaskan pertumbuhan pokok anggur. Bagaimanapun, apabila carang-carangnya terpotong daripada sumbernya, ia hanyalah kayu mati yang tidak bernilai. Demikianlah hal ini dengan kita.

Apabila kita tetap bersatu dengan Yesus dan menyimpan firman-Nya dalam hati kita, kita dihubungkan kepada sumber hidup kita—Kristus sendiri. “Kemuliaan Bapa-Ku dinyatakan apabila kamu berbuah lebat, dan dengan demikian kamu betul-betul pengikut-Ku” (ayat 8). Bagaimanapun, “baja” diperlukan setiap hari untuk menghasilkan buah yang lebat. Tuhan membekalkannya melalui firman dan kasih-Nya secara percuma. Jadi, hubungkanlah hidup kita kepada-Nya dan terimalah aliran arus kuasanya-Nya!