Pada tahun 1948, Haralan Popov, seorang pastor di sebuah gereja bawah tanah telah ditahan dari rumahnya untuk “disoal siasat.” Dua minggu kemudian, dia disoal siasat lagi sepanjang hari dan tidak diberi makanan selama 10 hari. Setiap kali dia menafikan dirinya sebagai perisik, dia akan dipukul. Popov bukan hanya terselamat daripada penganiayaan itu tetapi juga memimpin ramai banduan untuk mengenal Yesus. Akhirnya, 11 tahun kemudian, dia dibebaskan dan meneruskan penginjilan, sehingga 2 tahun selepas itu, dia dapat meninggalkan negara tersebut dan bertemu semula dengan keluarganya. Seterusnya dia berkhutbah dan mengumpulkan wang selama bertahun-tahun untuk menghantar Alkitab ke negara-negara tertutup.

Popov dianiayai kerana imannya seperti ramai orang yang percaya kepada Yesus sepanjang zaman. Lama sebelum penyeksaan dan kematian Yesus serta penganiayaan terhadap pengikut-pengikut-Nya yang seterusnya, Dia berkata, “Berbahagialah orang yang menderita penganiayaan kerana melakukan kehendak Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah!” (Matius 5:10). Dia meneruskan, “Berbahagialah kamu apabila orang … menganiaya, dan memfitnah kamu kerana kamu pengikut-Ku” (ayat 11).

“Berbahagialah”? Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus? Dia merujuk kepada kesempurnaan, kegembiraan dan kedamaian yang terdapat dalam hubungan dengan Dia (ayat 4, 8–10). Popov tidak putus asa kerana dia merasakan hadirat Tuhan yang memberikannya kekuatan walaupun dalam penderitaan. Apabila kita berjalan bersama Tuhan dalam apa jua keadaan, kita juga boleh mengalami kedamaian-Nya. Dia menyertai kita.