Kenapa pula ada sebiji bola sepak di tempat letak kereta? Saya tertanya-tanya. Tetapi ketika saya semakin menghampiri benda itu, saya menyedari itu bukanlah bola sepak: ia adalah seekor angsa Kanada—angsa yang paling sedih.

Angsa-angsa sering berkumpul di halaman berhampiran tempat kerja saya pada musim bunga dan musim luruh. Tetapi hari ini tinggal seekor sahaja, dan leher angsa itu sering berpusing ke belakang dan kepala terselip di bawah sayap. Di manakah rakan-rakan kamu? Saya fikir. Angsa itu kelihatan sedih dan begitu sepi, sehingga saya teringin memeluknya. (Perhatian: jangan cuba melakukan hal ini.)

Saya jarang melihat seekor angsa bersendirian. Angsa sering mengeluarkan bunyi dan saling berkomunikasi, serta terbang dalam rombongan dan formasi berbentuk huruf V untuk mengurangkan rintangan angin. Angsa seharusnya hidup berkumpulan.

Sebagai manusia, kita juga dicipta untuk hidup bermasyarakat (lihat Kejadian 2:18). Dalam Pengkhutbah 4:10, Salomo menggambarkan kita adalah orang yang amat lemah kalau kita bersendirian: “Tetapi jika orang itu sendirian, lalu jatuh, malanglah dia kerana tiada sesiapa yang menolongnya.” Hidup bermasyarakat juga membawa kekuatan, tambahnya, kerana “orang yang sendirian mudah dikalahkan, tetapi dua orang dapat menentang serangan. Tiga utas tali yang dipintal menjadi satu, susah diputuskan” (ayat 12).

Kenyataan ini sangat penting bagi kita secara rohani dan fizikal. Tuhan tidak pernah mahu kita “terbang” bersendirian, terasing dan mudah terdedah kepada bahaya. Kita perlu membina hubungan antara satu sama lain untuk mengalami galakan, pembaharuan dan pertumbuhan (lihat juga 1 Korintus 12:21).

Apabila kita hidup bersama, kita dapat berdiri teguh walaupun badai atau gelora melanda hidup kita. Hidup bersama.