Dalam buku Restless Faith (Iman yang Resah), ahli teologi Richard Mouw menuliskan betapa pentingnya untuk mengingati pelajaran daripada masa lampau. Dia memetik kata-kata ahli sosiologi Robert Bellah bahawa, “Negara yang sihat mesti terdiri daripada “komuniti yang mempunyai memori”. Bellah melanjutkan prinsip tersebut kepada perikatan sosial lain seperti keluarga. Memori merupakan satu bahagian penting dalam kehidupan komuniti.

Alkitab juga mengajar kita tentang nilai memori komuniti. Bangsa Israel telah diberikan perayaan Paska untuk mengingati pekerjaan Tuhan dalam menyelamatkan mereka daripada perhambaan di Mesir (lihat Keluaran 12:1-30). Sehingga hari ini, bangsa Yahudi di serata dunia mengingati kisah komuniti mereka pada setiap musim bunga.

Paska juga mengandungi makna yang besar bagi para pengikut Kristus, kerana Paska menunjukkan pekerjaan Mesias pada kayu salib. Semasa Paska, malam sebelum kejadian penyaliban, Yesus telah mengadakan perjamuan untuk mengenang Dia. Lukas 22:19 merekodkan: “Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, ‘Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku’ ”.

Setiap kali kita berkumpul di meja Tuhan untuk meraikan Perjamuan Tuhan, kita mengenang bagaimana Yesus telah menyelamatkan kita daripada perhambaan dosa dan memberikan kita kehidupan kekal. Semoga kasih Yesus yang telah menyelamatkan kita mengingatkan kita bahawa kayu salib-Nya harus kita kenang—bersama dengan orang lain.