“Oh jangan!” Isteri saya menjerit sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dapur. Tepat pada masa dia masuk, anjing Labrador kami bernama “Max”, yang seberat 40 kg, bergegas keluar dari dapur.

Daging paha kambing yang terletak di tepi meja telah hilang. Max telah memakannya dan hanya tinggal periuk yang kosong. Max cuba bersembunyi di bawah katil. Akan tetapi hanya kepala dan bahunya yang muat di ruang bawah katil tersebut. Badan dan ekornya masih terdedah dan tetap kelihatan.

“Oh Max”, saya mengeluh, “Sesungguhnya kamu akan dihukum kerana dosa kamu itu”. Ungkapan tersebut dipinjam daripada Musa, semasa dia menegur dua suku Israel supaya taat kepada Tuhan dan berpegang pada janji mereka: “Tetapi jika kamu tidak menepati janji, ingatlah bahawa kamu berdosa terhadap TUHAN. Sesungguhnya kamu akan dihukum kerana dosa kamu itu” (Bilangan 32:23).

Dosa mungkin membawa keseronokan untuk seketika, tetapi ia membawa kesengsaraan yang dahsyat, iaitu perpisahan daripada Tuhan. Musa mengingatkan umatnya bahawa Tuhan melihat segala sesuatu. Seperti seorang penulis Alkitab yang berkata, “Tiada sesuatu pun dapat disembunyikan daripada Allah. Segala sesuatu di alam semesta terbuka dan terdedah di sisi Allah. Kita semua harus memberikan pertanggungjawapan tentang hidup kita kepada Allah” (Ibrani 4:13).

Walaupun Tuhan melihat segala perkara, Tuhan Yang Maha Kudus mengundang kita dengan penuh kasih supaya kita mengakui dosa, bertaubat dan hidup dengan Dia dalam kebenaran (1 Yohanes 1:9). Semoga kita mengikut Yesus dalam kasih pada hari ini.