Ketika pastor mengemukakan satu soalan yang susah tentang kehidupan Yesus kepada kelas kami, saya dengan pantas mengangkat tangan. Saya baru sahaja membaca kisah itu, jadi saya tahu jawapannya. Saya mahu orang lain di dalam kelas kami mengetahui bahawa saya tahu jawapannya. Tambahan lagi, saya sendiri ialah seorang guru Alkitab. Namun saya berasa amat malu sekiranya jawapan saya adalah salah di hadapan kesemua mereka! Sekarang saya berasa bimbang kerana takut menjadi malu. Jadi saya menurunkan tangan. Adakah saya begitu kurang keyakinan diri?

Yohanes Pembaptis telah memberikan contoh yang baik. Apabila para muridnya mengeluh kerana orang mula meninggalkan dia untuk mengikut Yesus, Yohanes menyatakan bahawa dia senang hati apabila mendengarkan perkara itu. Dia sekadar seorang utusan. “Aku bukan penyelamat yang diutus oleh Allah, tetapi aku diutus terlebih dahulu daripada-Nya … Dia mesti menjadi semakin penting dan aku semakin kurang penting” (ayat 3:28-30). Yohanes menyedari bahawa tujuan kewujudannya adalah untuk Yesus. “Dia yang datang dari syurga paling utama daripada semua orang” (ayat 31)—Anak Tuhan yang mengorbankan hidup-Nya untuk kita. Dia layak menerima segala kemuliaan dan kebesaran.

Tuhan yang harus menjadi pusat perhatian, bukan kita. Memandangkan Dia adalah satu-satunya Penyelamat dan harapan bagi dunia, maka sebarang pujian yang kita curi daripada-Nya akan memudaratkan diri kita.

Mari kita bertekad untuk tidak merampas pujian daripada Yesus—berilah segala kemuliaan kepada Dia. Itu yang terbaik untuk Dia, dunia ini dan kita.