Ketika saya mendengar seorang penala piano memperbaiki nada sebuah piano besar yang elegan, saya terkenang bahawa piano yang sama pernah mengeluarkan muzik yang luar biasa seperti “Konserto Warsaw” dan “How Great Thou Art” (Sungguh Besar Kau Allahku) yang kaya dengan melodi. Tetapi sekarang, piano itu berbunyi sumbang. Walaupun ada sesetengah nadanya masih dalam keadaan baik, tetapi ada juga yang bernada tajam atau rata, dan menghasilkan bunyi yang tidak merdu. Tanggungjawab penala piano bukannya memastikan semua kekunci memainkan bunyi yang serupa, tetapi memastikan setiap not mengeluarkan bunyi yang unik serta harmoni secara keseluruhannya.

“Bunyi sumbang” juga boleh berlaku dalam gereja. Orang yang mempunyai cita-cita atau bakat yang unik boleh mengakibatkan muzik sumbang apabila melayani Tuhan bersama. Dalam Galatia 5, Paulus menasihati orang percaya untuk menjauhi “perselisihan, iri hati, amarah, kepentingan diri sendiri”, yang boleh memusnahkan persekutuan dengan Tuhan atau hubungan dengan orang lain. Paulus seterusnya mendorong kita menghasilkan buah Roh: “kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemahlembutan, penguasaan diri” (ayat 20, 22-23, ATB).

Apabila kita dikuasai oleh Roh, kita boleh mengelakkan konflik yang sia-sia tentang perkara kecil dengan mudahnya. Kesatuan kita adalah lebih besar berbanding perbezaan antara kita. Dengan pertolongan Tuhan, setiap kita boleh bertumbuh dalam rahmat dan kesatuan, selagi hati kita senada dengan Dia.