Tepat pada masa Tuhan, anak kami Kofi telah lahir pada hari Jumaat, itulah maksud namanya—anak lelaki yang lahir pada hari Jumaat. Kami memberikan nama itu sempena nama rakan kami dari Ghana, seorang pastor yang baru kehilangan satu-satu anak lelakinya. Dia selalu berdoa untuk Kofi. Kami amat berterima kasih kepadanya.

Amat mudah untuk terlepas pandang tentang maksud penting dalam sesuatu nama sekiranya kita tidak mengetahui kisah di sebaliknya. Dalam Lukas 3, kita mendapati sebuah kisah yang menarik mengenai nenek moyang Yusuf. Keturunan Yusuf telah dikenal pasti dalam salasilah, bermula daripada Adam sehinggalah kepada Tuhan (ayat 38). Dalam ayat 31, kita mendapati: “anak Natan, anak Daud”. Itu adalah sesuatu yang menarik. Dalam 1 Tawarikh 3:5, kita dapat mengetahui bahawa Natan dilahirkan oleh Batsyeba.

Adakah ia cuma satu kebetulan Daud menamakan anak Batsyeba, Nathan? Renungkan kisah di sebaliknya. Batsyeba tidak sepatutnya menjadi isteri Daud. Seorang nabi yang bernama Natan menegur Daud dengan berani kerana menyalahgunakan kuasa untuk mengeksploitasi Batsyeba dan membunuh suaminya (lihat 2 Samuel 12).

Daud mengakui teguran nabi itu yang tepat dan tajam lalu bertaubat daripada dosanya yang jijik. Selepas mengalami pemulihan berikutan masa, Daud telah menamakan anaknya Natan. Nama itu amat tepat untuk anak Batsyeba, dan dia ialah nenek moyang Yusuf, bapa Yesus di bumi.

Dalam Alkitab, kita menemukan rahmat Tuhan terselit dalam segala perkara—malah dalam salasilah nama yang jarang diperhatikan. Rahmat Tuhan ada di mana-mana.