“Aku percaya kepada Yesus dan Dia ialah Penyelamatku, dan aku tidak takut akan kematian”, kata Barbara Bush, isteri bekas Presiden Amerika Syarikat George H. W.Bush, kepada anak lelakinya sebelum dia meninggal dunia. Pengakuan yang luar biasa dan kenyataan yang penuh yakin ini mengesahkan satu iman yang mempunyai akar yang dalam. Dia mengalami sejahtera Tuhan kerana dia mengenal Yesus, walaupun berhadapan dengan kematian.

Simeon, penduduk Yerusalem pada kurun pertama, juga mengalami sejahtera yang luar biasa kerana Yesus. Dengan pimpinan Roh Kudus, Simeon telah pergi ke Rumah Tuhan ketika Maria dan Yusuf membawa Yesus yang masih bayi untuk disunat, menurut hukum Tuhan untuk anak yang baru lahir. Walaupun tiada banyak maklumat tentang Simeon, melalui penjelasan Lukas, kita mengetahui bahawa dia seorang hamba Tuhan yang istimewa, benar serta taat, setia menantikan kedatangan Mesias, dan “Roh Allah menyertai Simeon” (Lukas 2:25). Namun Simeon tidak mengalami shalom (sejahtera), perasaan kepuasan yang mendalam sehinggalah dia melihat Yesus.

Semasa dia mendukung Yesus, Simeon memuji Tuhan dan kepuasan yang sepenuhnya terlahir dalam Tuhan: “Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa” (ayat 29-31). Dia mempunyai sejahtera kerana dia telah melihat harapan untuk masa depan seluruh dunia.

Ketika kita meraikan kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus, iaitu Penyelamat yang telah dijanjikan, marilah kita bersukacita atas hadiah sejahtera daripada Tuhan.