Thomas à Kempis, biarawan yang hidup pada abad ke-15, telah memberikan pandangan tentang cubaan yang mungkin mengejutkan orang dalam tulisan klasiknya, The Imitation of Christ (Menyerupai Kristus). Daripada berfokus kepada kesakitan dan kesusahan yang terhasil daripada cubaan, dia menulis, “cubaan adalah berguna kerana ia boleh menjadikan kita rendah hati, menyucikan kita, dan mengajar kita.” Kempis menjelaskan, “Kunci untuk mencapai kemenangan adalah memiliki kerendahan hati yang benar dan kesabaran; melaluinya kita dapat mengatasi musuh.”

Kerendahan hati dan kesabaran. Betapa berbezanya kehidupan saya dengan Kristus jika itulah cara untuk memberi respons terhadap cubaan! Namun, saya sering bereaksi dengan perasaan malu, geram dan tidak sabar bagi mengatasi pergelutan itu.

Tetapi apabila kita mempelajari Yakobus 1, cubaan dan ujian yang kita alami mestilah ada tujuannya dan bukan sekadar ancaman bagi kita lalui. Walaupun penyerahan kalah kepada cubaan boleh mengakibatkan kehancuran hati dan kerosakan (ayat 13-15), namun apabila kita berpaling kepada Tuhan dengan rendah hati sambil mencari hikmat dan rahmat-Nya, kita akan mendapati bahawa Dia “memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang” (ayat 5). Melalui kuasa-Nya dalam kita, cubaan dan pergelutan kita untuk mengatasi dosa akan menghasilkan ketabahan, “sehingga [kita] menjadi benar-benar sempurna dan tidak kekurangan sesuatu pun” (ayat 4).

Apabila kita mempercayai Yesus, tiada alasan untuk hidup dalam ketakutan. Sebagai anak-anak yang dikasihi Tuhan, kita boleh menemukan kedamaian selagi kita tinggal dalam tangan-Nya yang penuh kasih ketika berhadapan dengan cubaan.