Apabila tahun persekolahan bermula, C. J. yang berumur 14 tahun turun dari bas pada setiap petang dan menari di sepanjang kaki lima sehingga ke dalam rumah. Ibunya merakam dan berkongsi video C. J. yang bersemangat selepas balik dari sekolah. Dia menari kerana dia menikmati hidup dan ingin “membuat orang gembira” dengan setiap gerakan. Pada suatu hari, 2 orang pengutip sampah telah mengambil masa daripada kerja mereka yang sibuk untuk menari, berpusing dan bergoyang bersama dengan budak remaja yang menginspirasikan orang lain untuk menari bersamanya. 3 orang ini menunjukkan kuasa yang lahir daripada sukacita yang ikhlas dan berpengaruh.

Penulis Mazmur 149 menghuraikan sumber asal sukacita yang kekal dan tidak bersyarat—Tuhan. Pemazmur mendorong umat Tuhan turut menyanyikan “lagu baru untuk TUHAN! (ayat 1) Dia menjemput Israel untuk “Bergembiralah … kerana Pencipta kamu” dan “bersukacitalah … kerana Raja kamu!” (ayat 2). Dia memanggil kita menyembah-Nya dengan tarian dan muzik (ayat 1-3). Mengapakah? Kerana “TUHAN berkenan kepada umat-Nya; Dia memberikan kemenangan kepada orang yang bergantung kepada-Nya” (ayat 4).

Bapa kita yang di syurga yang mengasihi kita telah menciptakan kita dan memelihara alam semesta. Dia berkenan kepada kita kerana kita adalah anak-anak-Nya yang dikasihi. Dia menciptakan kita, mengenal kita, dan menjemput kita menikmati hubungan peribadi dengan-Nya. Betapa besarnya penghormatan itu! Tuhan kita yang pengasih dan hidup ialah sebab kita untuk kekal bersukacita. Kita boleh bersukacita dalam hadirat-Nya yang kekal serta bersyukur untuk setiap hari yang diberi oleh Pencipta kita.