“Saya menjaganya. Apabila dia gembira, saya turut berasa gembira,” kata Stella. Merle membalas, “Saya gembira apabila dia bersama dengan saya.” Merle dan Stella sudah berkahwin selama 79 tahun. Apabila Merle dimasukkan ke rumah penjagaan baru-baru ini, dia berasa sangat sedih—maka Stella dengan gembira membawa dia pulang ke rumah. Merle berumur 101 tahun, dan Stella berumur 95 tahun. Walaupun Stella memerlukan tongkat untuk berjalan, dia masih melakukan apa yang mampu untuk suaminya, seperti menyediakan makanan kegemaran suaminya. Tetapi dia tidak dapat melakukannya sendirian. Cucu dan jiran mereka turut membantu dalam perkara-perkara yang tidak dapat dilakukan oleh Stella.

Kehidupan Stella dan Merle merupakan contoh dalam Kejadian 2, seperti Tuhan berkata, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia” (ayat 18). Tiada makhluk ciptaan lain memenuhi huraian itu. Hanya Hawa, yang dijadikan daripada tulang rusuk Adam, barulah Adam menemui Hawa sebagai penolong dan teman yang sesuai (ayat 19-24).

Hawa merupakan teman yang sempurna bagi Adam, dan Tuhan membina perkahwinan melalui mereka. Pasangan itu bukan sahaja dapat saling membantu, malahan mereka mula membina keluarga, mempunyai keturunan, menguasai segala ciptaan dan menjaga orang lain (1:28). Daripada keluarga yang pertama, maka lahirlah sebuah komuniti supaya baik yang masih bujang ataupun yang sudah berkahwin, tua ataupun muda, tiada seorang pun antara kita akan bersendirian. Sebagai sebuah komuniti, Tuhan telah memberikan kita penghormatan untuk berkongsi beban bersama (Galatia 6:2).