Beberapa tahun yang lalu, saya dan isteri saya, Carolyn melawat sebuah gereja kecil. Sewaktu ibadat sedang berlangsung, seorang perempuan mula menari di laluan tengah gereja. Dia kemudian disertai oleh beberapa orang lain. Saya dan Carolyn saling berpandangan dan mempunyai pemikiran yang sama: “Kami tidak akan berbuat demikian!” Kami berasal daripada tradisi gereja yang lebih mementingkan penyembahan yang formal, dan rupa penyembahan ini jauh melampaui apa yang kami biasa amalkan.

Akan tetapi, jika kisah Markus tentang “pembaziran” yang dilakukan oleh Maria mengandungi maksud tersendiri, ini memperlihatkan bahawa kasih kita terhadap Yesus yang dinyatakan mungkin membuat orang lain berasa tidak senang hati (Markus 14:1-9). Harga minyak yang digunakan oleh Maria untuk mengurapi Yesus adalah sama nilai dengan upah selama setahun. Ia merupakan tindakan yang “kurang bijak” sehingga menjadi olokan pengikut-pengikut Yesus. Perkataan yang digunakan oleh Markus untuk menerangkan reaksi mereka bermaksud “mendengus” dan bermaksud penghinaan serta ejekan. Maria mungkin berasa kecewa kerana takut akan respons Yesus. Tetapi Dia memujinya kerana pengabdiannya dan mempertahankannya daripada tuduhan pengikut-pengikut-Nya; kerana Yesus melihat kasih yang merangsang tindakannya, walaupun ada yang menganggap bahawa perbuatannya tidak praktikal. Dia berkata, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji” (ayat 6).

Perbezaan rupa penyembahan—tidak formal, formal, senyap, ceria—menggambarkan luahan kasih kita yang ikhlas kepada Yesus. Dia layak menerima semua bentuk penyembahan yang datang daripada hati yang penuh kasih.