Sebatang pokok oak yang tumbuh berhampiran dengan Gereja Presbyterian Basking Ridge di New Jersey, Amerika Syarikat berusia lebih daripada 600 tahun, dan tiba masanya ia ditebang. Pada musim kegemilangan pokok itu, dahan-dahannya membentang tinggi dan luas. Angin bertiup sepoi-sepoi membuat daun hijau dan buah oak itu mengeluarkan bunyi. Matahari menyinar melalui celah-celah daun, dan menghasilkan terang yang berkelip-kelip di bawah teduh kanopi daun. Namun bahagian yang mengagumkan sebenarnya terletak di bahagian bawah tanah—sistem akarnya. Akar utama pokok oak bertumbuh secara menegak untuk mendapatkan sumber nutrien yang mencukupi. Daripada akar tunjang, lingkaran akar menjalar secara mendatar untuk membekalkan air dan nutrien kepada pokok oak. Sistem akar yang begitu kompleks sering bertumbuh lebih besar daripada pokok yang disokongnya dan menjadi sumber serta sauh untuk batang yang stabil.

Umpama pokok oak yang besar itu, kebanyakan pertumbuhan dalam hidup kita terjadi di bawah permukaan. Sewaktu Yesus menjelaskan perumpamaan tentang penabur kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia menekankan kepentingan untuk menjalinkan hubungan peribadi dengan Bapa. Apabila kita bertumbuh dalam pengetahuan tentang Tuhan seperti yang dinyatakan dalam Alkitab, akar iman kita dipelihara oleh Roh-Nya. Tuhan menolong pengikut-pengikut-Nya hidup dalam situasi, cubaan, penganiayaan dan kerisauan yang asyik berubah (Matius 13:18-23).

Bapa yang mengasihi kita memperbaharui hati kita dengan firman-Nya. Apabila Roh-Nya mengubah karakter kita, Dia memastikan hasil daripada iman yang berakar dalam akan menjadi kesaksian yang nyata kepada orang di sekeliling kita.