Setelah seorang budak lelaki menghadapi beberapa cabaran di sekolah, ayahnya mula mengajarnya satu ikrar untuk dilafazkannya setiap pagi sebelum pergi ke sekolah. “Saya berterima kasih kepada Tuhan yang membangunkan saya pada pagi ini. Saya akan pergi ke sekolah supaya saya boleh belajar … dan menjadi seorang pemimpin mengikut rancangan Tuhan.” Melalui ikrar ini, ayah itu berharap untuk membantu anaknya teguh menghadapi cabaran-cabaran kehidupan yang tidak dapat dielakkannya.

Dengan membantu anaknya menghafal ikrar ini, ayahnya sedang melakukan sesuatu yang serupa dengan apa yang telah diperintahkan oleh Tuhan kepada orang Israel sewaktu di padang gurun: “Jangan sekali-kali lupa akan hukum yang aku berikan kepada kamu hari ini. Ajarkanlah hukum itu kepada anak-anak kamu” (Ulangan 6:6–7).

Selepas mengembara di padang gurun selama 40 tahun, generasi Israel yang berikutnya akan masuk ke Tanah Perjanjian. Tuhan tahu bahawa tidak mudah bagi mereka untuk berjaya—kecuali mereka tetap fokus pada-Nya. Oleh itu, melalui Musa, Dia meminta mereka mengingati dan mentaati-Nya—dan membantu anak-anak mereka mengenal dan mengasihi Tuhan dengan mempercakapkan firman-Nya “semasa kamu di rumah ataupun berpergian, semasa kamu berehat ataupun bekerja” (ayat 7).

Pada setiap hari yang baru, kita juga boleh mengabdikan diri untuk mengizinkan firman Tuhan membimbing hati dan minda kita ketika kita menjalani kehidupan yang bersyukur kepada-Nya.