“Saya berbaring di atas katil yang penuh dengan botol minuman keras dan berasa putus asa,” kata wartawan Malcolm Muggeridge apabila dia menulis tentang malam yang sangat menyedihkan semasa bekerja sebagai seorang perisik pada Perang Dunia II. “Saya bersendirian di alam semesta, seolah-olah tiada kerdipan cahaya selama-lamanya.”

Dalam keadaan seperti itu, dia melakukan satu-satunya perkara yang difikirnya wajar; Dia cuba untuk melemaskan dirinya. Dia memandu ke pantai Madagascar yang berdekatan. Kemudian dia mula berenang ke laut sehingga dia berasa letih. Apabila dia berpusing ke belakang, dia ternampak cahaya berkerdip di pantai yang berjauhan. Tanpa alasan yang jelas, dia pun mula berenang kembali ke arah cahaya tersebut. Walaupun keletihan, dia dapat mengalami “sukacita yang luar biasa”.

Muggeridge tidak berapa faham apa yang telah berlaku pada masa itu, tetapi dia tahu Tuhan telah menjangkaunya pada masa yang gelap itu dan memberikannya harapan yang luar biasa. Rasul Paulus sering menulis tentang harapan itu. Dalam kitab Efesus, dia menyatakan bahawa sebelum mengenal Kristus, kita masing-masing “mati secara rohani, kerana [kita] tidak taat kepada perintah Allah dan [kita] berdosa … hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah” (Efesus 2:1, 12). Tetapi “Allah sangat berbelas kasihan … sehingga sementara kita mati secara rohani, … Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus” (ayat 4–5).

Dunia ini cuba mengheret kita ke dalam gaung, tetapi kita tidak perlu tunduk kepada keputusasaan. Seperti yang dikatakan Muggeridge tentang dirinya yang berenang ke laut, “Segalanya menjadi jelas kepada saya bahawa tiada kegelapan, hanya kemungkinan kita kehilangan fokus terhadap cahaya yang terus bersinar selama-lamanya.”