Sebagai seorang remaja, Malcolm tampak berkeyakinan. Tetapi keyakinannya itu hanyalah topeng. Sebenarnya dia mempunyai ketakutan, memerlukan sokongan, dan menyangka bahawa dia bertanggungjawab ke atas segala masalah keluarganya. Menurutnya, “seingat saya, apabila melihat diri saya di depan cermin setiap pagi, saya akan berkata kepada diri saya, “kamu bodoh, hodoh, dan semuanya adalah silap kamu!”

Perasaan benci Malcolm terhadap dirinya berterusan sehinggalah dia berumur 21 tahun. Akhirnya dia menyedari identitinya yang sebenar di mata Yesus. “Saya menyedari bahawa Tuhan mengasihi saya tanpa syarat dan tiada yang dapat mengubah hakikat itu. Tuhan tidak akan dimalukan kerana saya. Dia tidak akan menolak saya,” katanya. Selepas itu apabila Malcolm melihat dirinya di depan cermin, ungkapannya berubah, “Kamu dikasihi, cantik dan berbakat. Apa yang berlaku bukannya silap kamu.”

Pengalaman Malcolm menjelaskan apa yang dilakukan Roh Tuhan ke atas orang percaya. Dia membebaskan kita daripada ketakutan dengan menyatakan betapa kita dikasihi (Roma 8:15, 38-39). Dia menegaskan bahawa kita adalah anak-anak Tuhan yang diberkati (8:16-17; 12:6-8). Justeru itu, kita boleh mula melihat diri kita secara betul dengan pemikiran yang diperbaharui (12:2-3).

Selepas beberapa tahun, Malcolm masih mengungkapkan kata-kata itu setiap hari untuk memperkukuh apa yang dikatakan Tuhan tentang dirinya. Di mata Bapa, dia dikasihi, cantik dan berbakat. Demikian juga dengan kita.