Semasa melayani banduan lelaki yang paling ganas di Afrika Selatan, Joanna Flanders-Thomas telah menyaksikan kuasa Kristus mengubah hati manusia. Dalam buku Vanishing Grace (Anugerah yang Hilang), Philip Yancey menulis tentang pengalaman wanita ini: “Joanna melawat banduan setiap hari serta menyampaikan mesej yang mudah difahami tentang pengampunan dan perdamaian. Dia memenangi hati para banduan sehingga mereka bercakap secara terbuka tentang penderaan zaman kanak-kanak mereka. Dia mengajar mereka cara terbaik untuk menangani konflik. Pada tahun sebelum dia memulakan pelayanan, penjara tersebut mencatatkan 279 kes keganasan antara banduan dan pegawai penjara. Tetapi tahun selepas itu, hanya 2 kes keganasan dicatatkan.”

Rasul Paulus menulis, “Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula” (2 Korintus 5:17). Walaupun kita jarang melihat pembaharuan dinyatakan dengan begitu cepat seperti pengalaman Flanders-Thomas, tetapi kuasa Injil yang mengubah hati ialah kuasa terbesar yang memberi harapan di alam semesta. Ciptaan yang baru. Betapa luar biasanya fikiran ini! Kematian Yesus membawa kita ke arah menjadi seperti-Nya, iaitu perjalanan yang akan memuncak apabila kita bersemuka dengan Dia (lihat 1 Yohanes 3:1-3).

Selaku orang yang percaya kepada Yesus, kita meraikan kehidupan sebagai ciptaan baru. Kita harus terus memandang kepada pengorbanan Kristus. Kematian-Nya memberi kehidupan kepada kita. “Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus” (2 Korintus 5:21).