Anggerik, Batman, dan Mahsuri adalah antara beberapa nama yang diberikan kepada para ketua kumpulan di kem yang keluarga kami hadiri setiap tahun. Nama ini biasanya diberi berdasarkan kejadian yang memalukan, tabiat lucu atau hobi mereka.

Kita juga menemukan nama julukan dalam Alkitab. Sebagai contoh, Yesus memanggil dua rasul Yakobus dan Yohanes sebagai “Boanerges, yang bererti ‘anak guntur’ ” (Markus 3:17). Orang dalam Alkitab jarang memberi nama julukan untuk dirinya. Tetapi di sini kita melihat seorang wanita yang bernama Naomi meminta orang memanggilnya “Mara”, yang bermaksud “pahit” (Rut 1:20), kerana suami dan dua anak lelakinya telah meninggal dunia. Baginya, Tuhan memberi dia kehidupan yang pahit (ayat 21).

Tetapi nama baru ini tidak kekal kerana kehilangan yang dialami oleh Naomi bukanlah pengakhiran ceritanya. Di tengah-tengah keperitan, Tuhan memberkatinya dengan seorang menantu yang penyayang, iaitu Rut. Akhirnya Rut berkahwin lagi dan melahirkan seorang anak lelaki. Justeru itu, keluarga Naomi dibina semula.

Walaupun kadangkala kita cenderung untuk mengambil nama julukan seperti “Si Bodoh” atau “Si Tak Guna” berdasarkan kesusahan yang kita pernah alami atau kesilapan yang pernah kita lakukan, nama-nama itu bukanlah pengakhiran cerita. Kita boleh menggantikannya dengan nama yang telah diberikan Tuhan kepada kita iaitu “Kekasih-Ku” (Roma 9:25), serta bersandar kepada pertolongan-Nya pada saat-saat yang paling mencabar.