Seorang pegawai keselamatan menemukan dan menanggalkan sekeping pelekat yang menghalang pintu bangunan itu tertutup. Kemudian, apabila dia memeriksa pintu itu lagi, dia mendapati pelekat baru pada pintu itu dan melaporkan kejadian kepada polis. Akhirnya, polis menahan 5 pencuri yang mencerobohi bangunan tersebut.

Hasilnya, pegawai keselamatan ini mendedahkan skandal politik terbesar dalam hidupnya hanya dengan mengambil serius tentang tugasnya dan melakukan dengan baik, semasa dia bekerja di bangunan Watergate di Washington, D.C., iaitu ibu pejabat bagi satu parti politik besar di Amerika Syarikat.

Nehemia mula membina semula tembok di sekeliling Yerusalem dan melakukannya dengan serius. Pada penghujung projek itu, musuh-musuh di sekitar menjemput Nehemia untuk mengadakan pertemuan yang sebenarnya bertujuan untuk memerangkapnya (Nehemia 6:1-2). Tetapi Nehemia memberi respons dengan pendirian tegas: “Saya sedang menjalankan pekerjaan penting; oleh itu saya tidak dapat datang. Saya tidak mahu pekerjaan ini tergendala hanya untuk menemui tuan” (ayat 3).

Meskipun Nehemia memiliki kuasa, tetapi mungkin dia tidak mempunyai pangkat tinggi sebagai wira. Dia bukan wira yang hebat, bukan penyair atau nabi, dan bukan raja atau orang bijaksana. Dia hanya seorang pengurus minuman raja yang kemudiannya menjadi kontraktor tembok kota. Tetapi dia percaya bahawa dia sedang melakukan tugas yang penting untuk Tuhan. Semoga kita mengambil serius apa yang diberikan Tuhan kepada kita serta melaksanakannya secara baik dengan kuasa dan pembekalan-Nya.