Tiffani terjaga dan mendapati diri berseorangan dalam pesawat Air Canada yang gelap. Dengan tali keledarnya yang masih terpasang, dia tertidur sepanjang penerbangan sehingga pesawat mendarat dan para penumpang beredar. Mengapakah tiada orang yang membangunkannya? Bagaimanakah dia sampai ke sini? Dalam kebingungan, dia cuba mengingati apa yang berlaku.

Pernahkah anda mengalami kejadian-kejadian yang tidak dijangka? Misalnya anda terlalu muda untuk menghidapi sejenis penyakit dan tiada penawarnya. Penilaian pekerjaan terakhir adalah sangat baik; tetapi mengapakah anda masih dipecat? Sememangnya anda sedang menikmati perkahwinan yang bahagia, tetapi tiba-tiba berlaku perceraian dan anda terpaksa menjadi ibu atau bapa tunggal dengan pekerjaan sampingan.

Apakah yang telah terjadi? Ayub mungkin tertanya-tanya sewaktu dia “duduk di sebelah timbunan sampah” (Ayub 2:8). Dia kehilangan segala yang dimilikinya termasuk anak-anak, kekayaan dan kesihatannya dalam masa yang singkat. Dia tidak dapat memahami keadaan yang diharunginya pada masa itu.

Itulah masanya Ayub mengingati Pencipta-Nya dan segala kebaikan-Nya dalam hidup Ayub. Dia memberitahu isterinya, “Apabila Allah memberikan yang baik, kita menerimanya. Kita juga patut menerima yang tidak baik” (ayat 10). Ayub tahu bahawa dia boleh bergantung pada kebaikan dan kesetiaan Tuhan, lalu berkabung dan berseru kepada-Nya. Dia berduka dalam harapan, “Tetapi aku tahu bahawa di syurga ada Penyelamatku … aku akan melihat Allah selagi aku bertubuh” (19:25-26). Ayub berpegang pada harapan sambil mengingati permulaan dan pengakhiran peristiwa yang menimpanya.