Benah (lanternfly) ialah sejenis serangga cantik dengan sayap luar yang berbintik-bintik dan tompok merah cerah di sayap dalamnya yang berkelip ketika terbang. Tetapi kecantikannya adalah sejenis penyamaran. Serangga yang pertama kali ditemukan di Amerika Syarikat pada tahun 2014 ini dianggap berbahaya di Amerika Utara kerana serangga ini berpotensi membahayakan ekonomi dan alam sekitar. Serangga tersebut akan “makan isi sebarang tumbuhan berkayu,” termasuklah pokok ceri dan pokok-pokok buah lain, dan meninggalkan benda lekit yang menyebabkan kulapuk. Akibatnya, pokok akan mati dengan serta-merta atau sukar untuk menghasilkan buah.

Dalam kisah Adam dan Hawa, kita melihat jenis perosak yang lain. Ular iaitu Iblis, menipu mereka dan membuat mereka tidak mentaati Tuhan dengan makan buah larangan agar mereka akan “menjadi seperti Allah” (Kejadian 3:1-7). Tetapi kenapa perlu mendengar seekor ular? Adakah hanya kata-kata ular itu yang telah menggoda Hawa? Ataupun ada sesuatu yang menarik mengenainya? Alkitab memperlihatkan bahawa Iblis adalah ciptaan yang cantik pada mulanya (Yehezkiel 28:12). Iblis menggunakan taktik yang menyebabkan dia jatuh ke dalam dosa untuk menipu Hawa: “Engkau ingin naik ke puncak awan dan menjadi seperti Yang Maha Kuasa” (Yesaya 14:14; Yehezkiel 28:9).

Sekarang, segala kecantikan yang dipakai oleh Iblis adalah untuk menipu (Kejadian 3:1, Yohanes 8:44, 2 Korintus 11:14). Apabila dia ditewaskan, dia juga ingin menjejaskan orang lain atau menghalang iman mereka bertumbuh. Tetapi kita memiliki Yesus yang jauh lebih berkuasa di pihak kita! Kita boleh datang kepada-Nya, Penyelamat kita yang mulia.