“Jika saya menyentuh Alkitab, ia akan terbakar di tangan saya!” kata profesor bahasa Inggeris di kolej komuniti saya. Saya berasa agak sedih. Novel yang kami baca pada pagi itu merujuk kepada satu ayat dalam Alkitab, dan apabila saya mengeluarkan Alkitab untuk mencarinya, profesor tersebut mengungkapkan kata-kata itu. Dia berfikir bahawa dia tidak dapat diampuni kerana dia orang yang paling berdosa. Namun, saya tidak berani memberitahunya tentang kasih Tuhan dan kita boleh sentiasa meminta pengampunan Tuhan menurut Alkitab.

Kitab Nehemia memperlihatkan pertaubatan dan pengampunan. Orang Israel dibuang negeri kerana dosa mereka, tetapi sekarang mereka dibenarkan untuk kembali ke Yerusalem. Ketika mereka “menetap” di Yerusalem, ahli Taurat, Ezra membacakan Taurat kepada mereka (Nehemia 7:73-8:3). Mereka mengakui dosa dan mengingati bahawa meskipun mereka berdosa, Tuhan “tidak meninggalkan” mereka (9:17, 19). Dia “mendengarkan seruan mereka” dan Dia bersabar terhadap mereka dengan belas kasihan (ayat 27-31).

Demikian juga, Tuhan bersabar dengan kita. Dia tidak akan meninggalkan kita jika kita memilih untuk mengakui dosa dan kembali kepada-Nya. Saya berharap saya boleh kembali dan memberitahu profesor saya bahawa tidak kira apa pun yang dilaluinya, Yesus mengasihi dia dan mahu dia menjadi anggota keluarga-Nya. Kita boleh datang kepada-Nya untuk memohon pengampunan. Dia pasti mengampuni kita!