Sebelum fajar menyingsing, suami saya sudah bangun dan pergi ke dapur. Saya nampak lampu berkelip-kelip dan tertanya-tanya apa yang sedang dilakukannya. Kemudian saya teringat bahawa pagi kelmarin saya terlihat “penceroboh—makhluk yang berkaki enam yang tidak dibenci” muncul di dapur kami. Suami saya tahu ketakutan saya dan segera datang untuk menghapusnya. Pagi ini dia bangun lebih awal untuk memastikan dapur kami tiada serangga supaya saya tidak berasa risau. Dia suami yang sungguh baik!

Suami saya mengutamakan keperluan saya. Bagi saya, tindakannya menggambarkan kasih yang dinyatakan oleh Paulus dalam Efesus 5:25, “Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawa-Nya untuk jemaah.” Paulus melanjutkan, “Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri” (ayat 28). Perbandingan Paulus tentang kasih seorang suami dan kasih Kristus menjelaskan bagaimana Yesus lebih mengutamakan keperluan kita daripada diri-Nya. Suami saya tahu saya takut “penceroboh” tertentu, maka dia menjadikan keperluan saya sebagai keutamaannya.

Prinsip itu tidak terhad kepada suami sahaja. Seperti pengorbanan Yesus, kita masing-masing boleh berkorban dengan kasih untuk saling membantu menghapus penceroboh yang berbentuk tekanan, ketakutan, rasa malu, atau kerisauan agar seseorang dapat hidup dengan lebih bebas di dunia ini.