Berita itu datang secara mengejut. Setelah terselamat daripada kanser prostat, bapa saya kini telah didiagnosis dengan kanser pankreas. Tambahan lagi, ayah saya adalah penjaga sepenuh masa kepada ibu saya yang juga menghidapi penyakit kronik. Dengan kedua-dua ibu bapa memerlukan penjagaan, saya berdepan dengan hari-hari yang sukar.

Selepas pulang ke rumah untuk bersama dengan mereka, saya menghadiri gereja ibu bapa saya pada suatu hari Ahad. Di sana, seorang lelaki bernama Helmut mendekati saya untuk menghulurkan bantuan. Dua hari kemudian, Helmut melawat rumah kami dengan satu senarai semak. “Anda akan perlukan makanan apabila rawatan kemoterapi bermula,” katanya. “Saya akan mengatur orang masak untuk kamu. Selain itu, saya juga boleh tolong untuk memotong rumput dan membuang sampah.” Helmut ialah seorang pemandu trak yang telah bersara, tetapi bagi kami dia bagaikan malaikat. Kami mendapati bahawa dia sering membantu orang lain—ibu tunggal, orang yang tidak berumah dan orang tua.

Sungguhpun orang yang percaya kepada Yesus dipanggil untuk membantu orang lain (Lukas 10:25-37), ada yang mempunyai keupayaan istimewa untuk melakukannya. Orang seperti itu “mempunyai kurnia untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain” (Roma 12:8). Orang yang mempunyai keupayaan ini dapat mengesan keperluan, memberikan bantuan yang praktikal dan melayani orang lain lebih masa tanpa berasa keletihan. Mereka disentuh oleh Roh Kudus, dan menjadi tangan dalam tubuh Kristus, menjangkau dan menyentuh luka kita (ayat 4-5).

Baru-baru ini, ayah saya telah menjalani kemoterapi yang pertama. Helmut menghantarnya ke hospital. Pada malam itu, peti sejuk ibu bapa saya penuh dengan makanan.

Belas kasihan Tuhan ditunjukkan melalui tangan seorang pemandu trak.