Ketika Perang Dunia I meletus pada tahun 1914, seorang negarawan berbangsa British, Tuan Edward Grey mengisytiharkan, “Semua lampu akan terpadam di seluruh Eropah, kita tidak akan dapat melihatnya lagi sepanjang hidup kita.” Kata-katanya benar. Apabila “peperangan untuk menamatkan semua peperangan” berakhir, lebih kurang 20 juta orang terbunuh (10 juta orang awam) dan 21 juta lagi tercedera.

Walaupun pada tahap yang berbeza, kemusnahan juga boleh berlaku dalam kehidupan peribadi kita. Rumah, tempat kerja, gereja atau kejiranan kita juga dapat diselubungi konflik. Ini merupakan salah satu sebabnya Tuhan memanggil kita menjadi orang yang membawa pengaruh kepada dunia ini. Tetapi untuk melakukan hal itu, kita mesti bergantung kepada hikmat-Nya. Rasul Yakobus menulis, “Apabila seseorang memiliki kebijaksanaan yang berasal dari syurga, maka dia bersifat murni, mencintai kedamaian, lemah lembut dan ramah-tamah. Dia juga bersikap belas kasihan serta mengamalkan segala jenis perbuatan baik. Dia tidak bersikap berat sebelah dan tidak munafik atau bertalam dua muka. Buah perbenaran ialah hasil daripada benih kedamaian yang disemaikan oleh orang yang mencintai kedamaian” (Yakobus 3:17–18, AVB).

Peranan pembawa kedamaian adalah penting disebabkan oleh hasilnya. Perkataan perbenaran bererti “status yang benar” atau “hubungan yang benar”. Pembawa kedamaian dapat membantu memulihkan hubungan. Patutlah Yesus berkata, “Diberkatilah mereka yang mendamaikan manusia, kerana mereka akan dipanggil anak-anak Allah” (Matius 5:9, AVB). Anak-anak Tuhan yang bersandar kepada hikmat Tuhan menjadi saluran-Nya untuk membawa kedamaian ke tempat-tempat yang sangat memerlukan.