Kedudukan awan yang rendah telah menyelubungi kaki langit dan mengehadkan jarak penglihatan kepada beberapa ratus meter. Masa semakin berlalu dan saya semakin hilang semangat. Tetapi ketika petang menjelang, awan mula berkurang dan saya dapat melihat Puncak Peak yang indah. Ia merupakan tanda tempat di kota saya yang paling terkenal, dan dikelilingi oleh banjaran gunung. Senyuman terukir di wajah saya. Saya dapat memahami bahawa penglihatan fizikal kita boleh memepengaruhi penglihatan rohani kita. Ini juga mengingatkan saya tentang nyanyian si pemazmur, “Aku memandang ke arah pergunungan” (Mazmur 121:1). Ada kalanya kita hanya perlu mengangkat mata kita!

Pemazmur merenungkan sumber pertolongannya, mungkin kerana puncak bukit di sekitar Israel ada banyak mazbah berhala dan selalu ada perompak. Atau mungkin kerana pemazmur melihat melangkaui bukit ke arah Bukit Sion, tempat mazbah Tuhan dibina dan dia mengingati bahawa Pencipta langit dan bumi adalah Tuhannya yang mengikat perjanjian (ayat 2). Cara kita menyembah mesti memandang ke atas. Kita harus melihat melangkaui keadaan, masalah dan cubaan yang kita hadapi, dan bukannya janji kosong daripada dewa-dewa palsu zaman kita. Kemudian kita dapat melihat Pencipta dan Penebus yang memanggil nama kita. Dialah TUHAN yang “akan melindungi kamu ketika kamu pergi dan balik, dari sekarang hingga selama-lamanya” (ayat 8).