David dipukul buat pertama kali oleh ayahnya pada hari jadinya yang ke-7 selepas memecahkan cermin tingkap dengan tidak sengaja. “Dia menendang dan menumbuk aku. Selepas itu, dia meminta maaf. Dia seorang pemabuk yang kasar dan sedihnya aku juga mengulangi tabiat buruk ini. Kini, aku masih mencuba sedaya upaya untuk mengakhiri kitaran ini,” kata David.

Tetapi David mengambil masa yang lama untuk sampai ke tahap ini. Dia menghabiskan kebanyakan masa pada peringkat remaja dan dua puluhannya di penjara atau diletakkan di bawah percubaan. Dia juga keluar masuk dari pusat pemulihan dadah. Ketika impiannya seakan-akan hancur sepenuhnya, dia menemukan harapan di sebuah pusat pemulihan Kristian selepas membina hubungannya dengan Yesus.

“Dulu aku ditenggelami keputusasaan. Sekarang aku berusaha untuk mengalihkan arah hidupku. Ketika bangun pada waktu pagi, perkara pertama yang aku katakan kepada Tuhan ialah aku menyerahkan kehendakku kepada-Nya,” kata David.

Ketika kita datang kepada Tuhan dengan kehidupan yang hancur, sama ada disebabkan oleh kesalahan orang lain atau kesalahan sendiri, Tuhan mengambil hati kita yang hancur dan memperbaharui kita: “Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, … Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula” (2 Korintus 5:17). Kasih dan kehidupan Kristus memutuskan kitaran masa lalu dan memberi kita masa depan yang baru (ayat 14–15). Ia tidak berakhir di situ! Sepanjang kehidupan kita, kita dapat menemukan harapan dan kekuatan melalui apa yang telah dilakukan Tuhan dan pekerjaan yang berterusan dalam hidup kita setiap saat.