Dalam buku Dr. Paul Brand, Fearfully and Wonderful Made yang dikarangnya bersama Philip Yancey, dia mengamati bahawa, “Jantung burung madu seberat beberapa gram sahaja dan berdenyut 800 kali seminit; jantung ikan paus biru hampir seberat 500 kilogram, berdenyut hanya 10 kali seminit, dan dapat didengar sejauh 3 kilometer. Namun jika dibandingkan dengan kedua-duanya, jantung manusia nampaknya lambat, namun melakukan tugasnya, berdenyut 100,000 kali sehari [65-70 kali seminit] tanpa waktu rehat, untuk menolong kebanyakan kita mencapai usia 70 tahun atau lebih lanjut usia.”

Jantung yang luar biasa ini memberi kekuatan kepada kita sepanjang hidup sehingga menggambarkan kesejahteraan dalaman kita secara keseluruhan. Namun, jantung kita dari segi fizikal atau metafora (jiwa) cenderung untuk gagal berfungsi. Apa yang boleh kita lakukan?

Pemazmur Asaf, seorang pemimpin pujian Israel, mengakui dalam Mazmur 73 bahawa kekuatan sejati datang dari tempat lain—Seseorang. Dia menulis, “Sekalipun jiwa ragaku menjadi lemah, Engkaulah kekuatanku, ya Allah; hanya Engkau yang aku perlukan selama-lamanya” (ayat 26). Kata-kata Asaf betul. Tuhan yang hidup adalah kekuatan kita yang utama dan kekal. Sebagai Pencipta langit dan bumi, Dia tahu tiada batasan dalam kuasa-Nya yang sempurna.

Pada masa-masa yang sukar dan mencabar, semoga kita dapat menemukan apa yang dipelajari Asaf melalui pergelutannya sendiri: Tuhan adalah kekuatan sebenar bagi hati kita. Kita boleh bersandar kepada kekuatan itu setiap hari.