Semasa bertugas sebagai penjaga ibu saya di pusat barah yang beratus-ratus kilometer dari rumah saya, saya meminta orang ramai mendoakan kami. Selepas beberapa bulan, perasaan terasing dan kesepian membuat saya tidak lagi berdaya. Bagaimanakah saya dapat menjaga ibu saya jika saya terus berada dalam keletihan fizikal, mental, dan emosi?

Suatu hari, tanpa dijangka kawan saya, Jodi menghantar saya satu hadiah. Dia telah mengait selendang ungu, sebagai peringatan kasih bahawa ada orang yang mendoakan kami setiap hari. Setiap kali saya melilitkan selendang lembut itu di bahu saya, saya merasakan Tuhan memeluk saya dengan doa umat-Nya. Bertahun-tahun kemudian, Dia masih menggunakan selendang ungu itu untuk menenangkan saya dan memberi saya kekuatan.

Rasul Paulus menegaskan kepentingan dan kuasa pembaharuan untuk mendoakan orang lain. Melalui permintaannya yang penuh semangat untuk sokongan doa dan dorongan semasa perjalanan misinya, Paulus menunjukkan bagaimana mereka yang berdoa untuk orang lain menjadi rakan dalam pelayanan (Roma 15:30). Dengan permohonan khusus, rasul ini tidak hanya memperlihatkan kebergantungannya kepada sokongan sesama orang percaya, tetapi juga kepercayaannya bahawa Tuhan menjawab doa dengan penuh kuasa (ayat 31-33).

Setiap kita akan mengalami hari-hari yang sunyi. Tetapi Paulus menunjukkan kita boleh meminta sokongan doa sementara kita berdoa untuk orang lain. Apabila kita diselimuti doa syafaat daripada umat Tuhan, kita dapat mengalami kekuatan dan penghiburan Tuhan dalam apa pun keadaan hidup.