Setelah bertemu dengan Ratu England di sebuah majlis di Scotland, Sylvia dan suaminya menerima pesanan bahawa keluarga diraja ingin mengunjungi mereka untuk minum teh. Sylvia mula membuat pembersihan dan persiapan untuk menjadi tuan rumah bagi tetamu diraja itu. Sebelum mereka tiba, dia pergi ke luar memetik beberapa kuntum bunga untuk menghiaskan mejanya, dan jantungnya berdegup kencang. Kemudian dia merasakan Tuhan mengingatkannya bahawa Dialah Raja segala raja dan Dia bersama-samanya setiap hari. Ketika itu, dia berasa damai dan berfikir, “Lagipun, dia hanya ratu!”

Sylvia benar. Seperti yang dicatat oleh rasul Paulus, Tuhan “Dialah Penguasa Satu-satunya, Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung” (1 Timotius 6:15) dan mereka yang mengikut-Nya adalah “anak-anak Allah” (Galatia 3:26). Apabila kita menjadi milik Kristus, kita adalah “keturunan Abraham” (ayat 29). Kita tidak lagi terikat oleh perbezaan—seperti kaum, kelas sosial, atau jantina—kerana kita “semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus” (ayat 28). Kita adalah anak-anak Raja.

Walaupun Sylvia dan suaminya dapat menikmati jamuan bersama dengan ratu, saya tidak menjangka akan menerima jemputan seperti ini daripada ratu. Namun saya suka peringatan ini bahawa Raja yang agung menyertai saya setiap saat. Mereka yang percaya kepada Yesus dengan sepenuh hati (ayat 27) dapat hidup dalam kesatuan itu dengan mengetahui bahawa mereka adalah anak-anak Tuhan.

Bagaimanakah dengan memegang kebenaran ini dapat membentuk gaya hidup kita sekarang?